Wednesday, January 4, 2012

Perkhidmatan Sains Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan Saintifik

 
LATAR BELAKANG:

Persidangan Pegawai Sains Kebangsaan 2009 (PPSK 2009) yang pertama telah diadakan dengan jayanya pada 1 hingga 3 Disember 2009 di Klana Resort, Seremban. Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada pegawai sains dari pelbagai insititusi kerajaan dan universiti pengajian tinggi telah menyertai persidangan ini. Kesinambungan daripada persidangan itu, jawatankuasa merasakan perlu untuk memastikan setiap resolusi yang dihasilkan semasa persidangan ini dapat dimanfaat dengan sebaiknya oleh semua pegawai sains bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sains. Secara umumnya, perkhidmatan sains mempunyai klasifikasi bidang  tugas yang sangat luas dan memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di Malaysia.

Sederap dengan Dasar Sains dan Teknologi Negara kini, inovasi dalam perkhidmatan sains adalah salah satu mekanisma utama dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan sesebuah makmal. Antara inovasi dalam perkhidmatan adalah seperti pengoptimuman penggunaan instrumentasi dalam analisis, amalan terbaik yang melibatkan prosedur kerja yang menjimatkan kos dan masa serta pengurusan dan keselamatan makmal yang efektif. Cetusan inovasi yang dihasilkan dalam perkhidmatan sains adalah didokong oleh pembangunan sumber manusia yang teguh, seimbang dan tersusun.

Oleh itu, Persidangan Pegawai Sains Kebangsaan Kali Kedua 2012 (PPSK 2012) dengan tema ‘Perkhidmatan Sains Berkualiti Pemangkin Kecemerlangan Saintifik’ menekankan isu – isu inovasi dalam perkhidmatan sains yang merangkumi aspek perkhidmatan makmal, instrumentasi, pengurusan dan keselamatan makmal serta amalan terbaik melalui penandaarasan antara institusi dalam dan luar negara. Sehubungan dengan itu, melalui persidangan ini diharapkan dapat memberi nilai tambah dalam aspek inovasi perkhidmatan sains sekaligus menyokong teguh rancangan pembangunan negara.

OBJEKTIF:

  1.      Penataran ilmu, idea, dan inovasi terkini antara peserta
  2.      Perkongsian amalan terbaik berdasarkan penandaarasan antara institusi dalam dan luar negara
  3.      Membantu meningkatkan kecemerlangan dalam proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan
  4.      Penambahbaikan dalam pengurusan dan keselamatan makmal
  5.      Pemantapan pembangunan sumber manusia dalam perkhidmatan sains

SKOP:
1.      Pengurusan Makmal.
2.      Pengurusan Keselamatan.
3.      Pengurusan Instrumentasi

PESERTA:

Pegawai Sains dari agensi kerajaan dan institut pengajian tinggi  dalam dan luar negara.


 Ke Menu Utama